Tuesday, August 18, 2026

Syed Saddiq Terus Bersikap ‘Hollywood’

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini sekali lagi menjadi tumpuan selepas cuba mendedahkan isu pelaburan syarikat Al-Rawda Real Estates oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Pelaburan itu didakwa mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM1.864 bilion.

Syed Saddiq mendakwa apabila dia membaca laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan, ahli Parlimen Muar tersebut 'naik darah' kerana pengurusan TH yang begitu teruk.

Sudah tentu, angka kerugian sebesar itu memang mengejutkan dan wajar dipersoalkan.

Namun, persoalan yang lebih penting, adakah Syed Saddiq sendiri benar-benar faham konteks penuh isu yang sedang dilontarkannya atau sekadar melenting di hadapan kamera tanpa memahami butiran sebenar?

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/781868

Perkara pertama yang wajar disoal adalah bilakah sebenarnya pengurusan pelaburan Al-Rawda mula menjadi bermasalah?

Menurut kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Al-Rawda mula gagal membuat bayaran sewa kepada TH sejak suku pertama 2019.

Sebelum tempoh tersebut, bekalan bilik hotel dan aliran bayaran sewa dilaporkan berjalan seperti biasa mengikut jadual asal.

Masalah sebenar hanya timbul apabila Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi kerajaan.

SUMBER: https://www.malaysiadateline.com/fahami-isu-al-rawda-pelaburan-tabung-haji-dengan-kerugian-terbesar-rm1-86-bilion/

Apabila masalah Al-Rawda mula tercetus pada Mac 2019, Syed Saddiq sibuk dengan kempen Riben Kuning dan mengumumkan pengambilan bekas banduan untuk berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan.

Syed Saddiq sendiri yang merupakan ahli Kabinet gagal memberi tumpuan kepada krisis pengurusan TH milik kerajaan ketika itu.

Dia sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada program kementerian berbanding menumpukan kepada krisis tadbir urus kewangan yang sedang membarah ketika itu dalam TH.

Syed Saddiq perlu menjawab sendiri persoalan yang ditimbulkannya.

Apakah tindakan konkrit yang diambil kerajaan pada masa itu? Adakah Mahathir selaku Perdana Menteri pernah terus menghubungi kerajaan Arab Saudi untuk mencari penyelesaian dua hala?

Isu itu melibatkan lebih RM1 bilion wang milik institusi pengurusan haji Malaysia, serta bekalan bilik hotel untuk jemaah haji yang akan berangkat beberapa bulan kemudiannya.

Satu isu sebesar dan sesensitif itu sepatutnya mendapat perhatian kerajaan sepenuhnya, bukan dibiarkan berlarutan sehingga kerajaan selepas itu terpaksa mendedahkannya bertahun-tahun kemudian menerusi laporan RCI.

SUMBER: https://malaysiagazette.com/2019/03/14/kbs-rekrut-2-lagi-bekas-banduan-syed-saddiq/

Di sinilah terletaknya kejanggalan retorik dicetuskan oleh Syed Saddiq.

Masalah melibatkan Al-Rawda bukan bermula ketika zaman Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, sebaliknya berlaku selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Justeru, mengapa pula naratif yang dibawa kini oleh Syed Saddiq seolah-olah cuba menjadikan kerajaan terdahulu sebelum PH pada 2018 sebagai kambing hitam sepenuhnya?

Walhal tempoh permulaan kegagalan pembayaran sehingga tempoh awal pengabaian isu berkenaan berlaku tepat semasa Syed Saddiq dan 'rakan-rakan' Kabinetnya sendiri memegang tampuk pemerintahan?

Jika benar Syed Saddiq prihatin terhadap tadbir urus TH, mengapa dia sendiri tak menggesa kerajaan ketika itu bertindak menyelesaikan isu tersebut melalui saluran diplomatik rasmi sebaik sahaja kegagalan bayaran pertama dikesan pada 2019?

Mengapa perlu menunggu enam tahun kemudian untuk melenting di hadapan kamera selepas laporan RCI didedahkan oleh kerajaan lain?

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/780945

Syed Saddiq juga gagal memahami persoalan tentang angka kerugian itu sendiri.

Kirakan TH membayar sekitar RM1.5 bilion kepada Al-Rawda, kemudian menerima sebahagian bayaran sewa selama beberapa tahun pertama perjanjian dan turut menggunakan kemudahan bilik hotel tersebut setiap tahun untuk menempatkan jemaah haji Malaysia.

Bagaimana pula angka 'kerugian' akhirnya boleh menjadi RM1.86 bilion, lebih tinggi daripada jumlah pelaburan asal?

Adakah logik 'lagi lama terima bayaran, lagi besar kerugian' ini benar-benar difahami oleh Syed Saddiq sebelum dia melenting di hadapan media atau ahli Parlimen Muar hanya sekadar membaca angka akhir tanpa memahami formula pengiraannya?

Sebagai seseorang yang mendakwa dirinya adalah celik kewangan, sepatutnya Syed Saddiq memahami perbezaan asas antara tiga konsep berlainan yang sering mengelirukan orang awam.

Konsep pertama adalah kerugian tunai sebenar iaitu wang yang benar-benar hilang dan tidak akan dikembalikan.

Konsep kedua adalah rosot nilai perakaunan iaitu pelarasan nilai buku aset mengikut piawaian perakaunan walaupun wang tunai sudah diterima sepenuhnya.

Konsep terakhir adalah baki sewa belum diterima iaitu jumlah yang masih dijangka diterima tetapi belum dibayar oleh kontraktor.

Angka RM1.86 bilion yang didedahkan RCI sebenarnya adalah angka rosot nilai perakauan penuh bagi keseluruhan nilai kontrak sewa bernilai 2.49 bilion riyal Arab Saudi yang dijangka diterima TH sepanjang tempoh perjanjian.

Angka berkenaan bukan semata-mata wang tunai sebenar yang hilang daripada pembayaran awal RM1.5 bilion.

Itu adalah perbezaan teknikal penting yang sepatutnya dijelaskan sebelum seseorang seperti Syed Saddiq 'naik darah' dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan orang awam.

SUMBER: https://the-corporatessecret.com/blog/2026/08/11/era-menteri-agama-ph-mujahid-yusof-rawa-pegangan-tabung-haji-dalam-abraj-sdn-bhd-melibatkan-pelaburan-rm45-juta-diluluskan-untuk-dijual-pada-harga-rm100000/

Syed Saddiq sepatutnya membuat 'kajian' terlebih dahulu sebelum melontarkan kritikan terhadap tadbir urus kewangan awam.

Naratif yang dilontarkan memerlukan ketelitian, bukannya mencari peluang untuk mencipta detik tular di media sosial.

Jika Syed Saddiq benar-benar prihatin terhadap kerugian besar TH, dia sepatutnya lebih bertanggungjawab mendedahkan kronologi penuh isu berkenaan termasuk peranan kerajaan PH ketika permulaan krisis pada 2019.

Sebaliknya dia hanya berminat untuk memetik angka 'kerugian' yang mencipta berita sensasi sambil menyembunyikan 'pekungnya' sendiri.

Syed Saddiq Terus Bersikap ‘Hollywood’

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini sekali lagi menjadi tumpuan selepas cuba mendedahkan isu pelaburan syarikat ...