Friday, January 19, 2024
Sepandai-Pandai Tupai Melompat...
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memanggil Mirzan Mahathir bagi membantu siasatan berhubung isu aktiviti perniagaannya pada 1990-an.
Aktivitinya itu didedahkan oleh Kertas Panama pada 2022 dan SPRM sudah mengeluarkan notis untuk Mirzan mengisytihar hartanya di dalam dan luar negara.
Elok sangatlah SPRM bertegas dan mengarahkan Mirzan berbuat demikian. Lama sangat 'dilindungi' oleh bapanya, Mahathir.
Anak-anak Mahathir sudah banyak menyakau kekayaan di negara ini namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.
Sebab itu, Mahathir bersungguh-sungguh mahu merampas jawatan Perdana Menteri sekali lagi kerana hendak melindungi anak-anaknya.
SUMBER: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/18/mirzan-disiasat-berkait-laporan-kertas-panama/
Pada 1992, Mirzan membeli Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL) Berhad daripada sebuah agensi milik kerajaan iaitu Perbadanan Nasional (PERNAS) dengan harga RM248 juta.
Mirzan membeli PNSL menerusi syarikat miliknya iaitu Konsortium Perkapalan Bhd (PKB).
Ketika itu, PNSL dikenali sebagai sebuah syarikat perkapalan terbesar Malaysia dan banyak mengikat kontrak jangka masa panjang dengan entiti besar negara seperti BERNAS, Perwaja dan Tenaga Nasional Berhad.
Disebabkan itu, Mirzan nampak PNSL akan menjadi lubuk duit utama buat KPB kerana potensi syarikat tersebut yang stabil dan keuntungannya terjamin.
Ketika krisis ekonomi Asia berlaku pada 1997-1998, Mirzan terpaksa menjual PNSL kepada Petronas menerusi Malaysia International Shipping Corporation (MISC).
SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/expkr-youth-chief-alleges-dr-mahathir-bailed-his-sons-kpb-1998-59960
Kenapa Mirzan menjual syarikat yang memiliki potensi besar seperti itu kepada Petronas dan kenapa Petronas sanggup membelinya?
Mirzan suka berhutang sana sini. Tak cukup berhutang dengan bank tempatan, Mirzan juga suka meminjam dengan bank-bank asing untuk mengembangkan perniagaan KPB.
Namun, Mirzan terperangkap dalam krisis ekonomi Asia dan dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira AS$230 juta kerana membeli syarikat Hong Kong, Pacific Basin Bulk Shipping pada 1996.
Ketika itu, bukan Malaysia sahaja lumpuh, ekonomi Hong Kong turut terjejas.
Bukan itu sahaja, nilai pinjaman Mirzan turut meningkat ketika membeli Pacific Basin selepas ringgit Malaysia merosot kepada RM4.80 berbanding AS dolar sewaktu krisis ekonomi Asia.
Mirzan hampir muflis dan Mahathir sebagai 'penyelamat' mengarahkan Petronas membeli syarikat KPB sebanyak RM900 juta.
SUMBER: https://alditta.blogspot.com/2023/04/how-mahathir-enriched-his-son.html#
Mahathir sanggup merancang untuk melaksanakan satu skema khas dengan mengambil dana kira-kira RM2 bilion daripada Kumpulang Wang Amanah untuk membantu KPB pada masa itu.
KPB ketika itu memiliki hutang sebanyak RM1.6 bilion. Menteri Kewangan pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang habis-habisan idea berkenaan.
Namun, Mahathir dikatakan mengarahkan pembelian KPB dibuat menerusi pintu belakang tanpa saluran rasmi.
Anwar meminta Mahathir membentangkan bajet tambahan untuk 'bail-out' KPB di Parlimen tapi Mahathir tidak mahu kerana ingin menjaga air mukanya.
Mahathir sebaliknya mengarahkan Petronas membeli KPB menggunakan dana kerajaan tanpa pengetahuan Kementerian Kewangan.
Licik sungguh permainan anak beranak ini. Sebab itu, Mirzan masih kekal dalam golongan elit negara, walhal dia hampir muflis suatu masa dahulu.
SUMBER: http://www.financetwitter.com/2023/04/court-battle-how-mahathir-enriched-his-son-by-bailing-out-rm1-7-billion-debt-laden-konsortium-perkapalan-bhd.html
Namun, zaman sudah berubah dan Mirzan tidak boleh selama-lamanya selamat daripada disoal siasat.
Licik macam mana sekali pun, kebenaran pasti terbongkar juga. Bukan satu perkara kecil apabila menggunakan duit rakyat untuk 'bail-out' syarikat kroni.
Rakyat membayar cukai dan menyimpan wang persaraan dalam badan milik kerajaan bukan untuk suka-suka.
Tapi, Mirzan dan Mahathir menyalahgunakan wang itu untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.
Ini baru satu perkara yang terbongkar, mungkin ada banyak lagi yang mereka dah lakukan tapi kita tidak tahu.
Pastinya, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Sunday, December 17, 2023
Sultan Johor Membangun Negeri, Mengispirasi Rakyat
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menunjukkan kepimpinan dan sumbangan yang signifikan, sekali gus memberikan impak besar kepada Bangsa Johor serta negeri berkenaan.
Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berwibawa dan berdedikasi. Komitmen dan usaha Sultan Ibrahim berjaya membangunkan dan memakmurkan Johor.
Selain itu, Baginda turut berjaya memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan Bangsa Johor.
Sultan Ibrahim bukan sahaja memerintah tetapi juga memberi bakti kepada Bangsa Johor, menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Melalui kepimpinan Sultan Ibrahim memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, Johor dijadikan contoh kemajuan di negara ini.
Salah satu pencapaian terbesar Sultan Ibrahim dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini adalah Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17.
Pelantikan Sultan Ibrahim merupakan penghormatan yang tinggi dan menandakan peranan penting Baginda dalam kepimpinan negara.
Sultan Ibrahim bakal memulakan tugasnya sebagai YDPA pada 31 Januari 2024, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 30 Januari tahun yang sama.
Meskipun belum memulakan tugas secara rasmi, Baginda telah melakukan banyak usaha dan pertemuan bersama menteri-menteri kerajaan serta Jawatankuasa Majlis Rasmi Kerajaan.
Sultan Ibrahim turut bertitah tidak akan berlembut kepada sebarang pihak yang cuba melakukan 'onar' kepada rakyat dan negara sepanjang Baginda menjadi YDPA.
Pelantikan Baginda sebagai YDPA menggembirakan dan memberi keterujaan kepada rakyat negara ini yang sedia maklum dengan kepimpinan Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim merupakan pemerintah yang sangat mementingkan kebajikan rakyat.
Baginda sering menekankan kepentingan dalam membantu kehidupan orang ramai agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Baginda adalah individu pertama yang akan turun padang serta menghulurkan bantuan kepada Bangsa Johor sekiranya ditimpa bencana atau musibah.
Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara ini, Sultan Ibrahim memberikan sumbangan 300,000 pelitup muka dan bekalan perubatan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi meringankan beban Bangsa Johor ketika saat-saat sukar tersebut.
Baginda turut memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan keperluan hospital di Johor dalam menangani pandemik Covid-19.
Bukan itu sahaja, Sultan Ibrahim turut bermurah hati memberi sumbangan kepada mangsa banjir, mangsa ribut serta mangsa kebakaran di Johor.
Malah, Sultan Ibrahim pernah mengurniakan lebih bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk membantu Bangsa Johor yang kurang berkemampuan.
Sayangnya Baginda kepada Bangsa Johor juga terlihat apabila kerap kali pasukan perubatan peribadi Sultan Ibrahim memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa-mangsa kemalangan.
Sultan Ibrahim pernah bertitah kepada pasukan perubatannya untuk sentiasa menolong rakyat yang berada dalam kecemasan.
Sultan Ibrahim sangat mementingkan perpaduan antara kaum dan menghormati sentimen keagamaan di Johor.
Baginda acapkali memberi penekanan kepada semua Bangsa Johor agar tidak menyebarkan virus perpecahan yang menggangu kestabilan negeri berkenaan.
Sultan Ibrahim menitahkan agar mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor perlulah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi mengelakkan sebarang penyebaran ilmu Islam yang songsang.
Baginda juga pernah menolak penubuhan cawangan Muhammadiyah bagi mengelak kekeliruan, perbalahan dan perpecahan umat Islam di Johor.
Selain itu, Sultan Ibrahim berkenan menjadi pendamai dalam mencari penyelesaian terhadap isu perobohan sebuah kuil Hindu di Seri Alam, Johor pada 2018.
Baginda bertitah satu lokasi baharu disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk membina semula kuil berkenaan dan turut memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada jawatankuasa kuil tersebut.
Sultan Ibrahim pada setiap tahun turut memberi amaran kepada ahli-ahli politik Johor untuk tidak saling berbalah atau Baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Baginda kerap memberi pesanan dan nasihat kepada ahli-ahli politik serta penjawat awam di Johor agar memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat.
Sultan Ibrahim tidak pernah sesekali berkompromi sekiranya ada ahli politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan di Johor.
Ketegasan Baginda menjadi bukti apabila Kerajaan Negeri Johor tidak pernah mengalami pergolakan sesama Exco negeri atau perbalahan dalam sidang DUN.
Walaupun berbeza pendapat atau pandangan politik, Kerajaan Negeri Johor sangat efisien dalam menjalankan tugas masing-masing.
Kepimpinan Sultan Ibrahim amat diperlukan dalam situasi kurang stabil negara ketika ini.
Jadikan Johor sebagai contoh terbaik. Sangat jarang mendengar Johor bergolak di bawah pimpinan Sultan Ibrahim.
Kepimpinan Sultan Johor yang berdedikasi dan tegas demi kesejahteraan Bangsa Johor telah menyumbang kepada situasi aman di negeri tersebut.
Apabila Sultan Ibrahim ditabal secara rasmi sebagai YDPA pada tahun depan, ketegasan Baginda paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
Di bawah kepimpinan Sultan Ibrahim, negara akan memasuki era baharu yang lebih stabil dan maju.
Monday, October 30, 2023
Kes Syed Saddiq: Rakyat Mahu Keadilan Segera!
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.12 juta.
Pada 22 Julai 2021, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu bersubahat untuk melakukan pecah amanah dana Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA) berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Mac 2018 dan 6 Mac 2019 di CIMB Bank Berhad di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pada 5 Ogos 2021, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Mac 2019 di CIMB Bank Berhad di Jalan Dato' Abdullah Tahir di Johor.
Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan dua pertuduhan sebelumnya.
Berdasarkan kronologi, kes ini telah berlangsung sejak Julai 2021 dan sehingga kini masih belum mendapat keputusan muktamad daripada mahkamah.
Mengapa mahkamah lambat membuat keputusan terhadap kes Syed Saddiq meskipun semua bukti sudah dikemukakan?
Sumber: https://www.thesundaily.my/cerita/berita/kronologi-kes-pecah-amanah-ubah-wang-haram-salah-guna-harta-syed-saddiq-PF10048403
Apakah impak atau kesan apabila mahkamah membuat keputusan terhadap kes Syed Saddiq?
Kes Syed Saddiq mencetuskan ketidakpastian dan ketegangan dalam situasi politik serta sosial selain mengganggu proses demokrasi dan keadilan dalam negara.
Kes berkenaan melibatkan peranan atau kedudukan Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin politik yang berpengaruh di negara ini.
Malah, kes terbabit membabitkan implikasi atau akibat yang besar kepada imej negarakepada negara asing. Pelabur khususnya akan melihat Malaysia tidak efisien menyelesaikan kes rasuah terutamanya melibatkan ahli politik di negara ini.
Justeru, kes Syed Saddiq sewajarnya perlu diselesaikan dengan segera oleh mahkamah tanpa sebarang penangguhan yang terlalu lama.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1076734/kes-pecah-amanah-syed-saddiq-pembelaan-tutup-kes
Dalam pada itu, Syed Saddiq dilihat menggunakan pelbagai strategi untuk memanjangkan tempoh perbicaraan kes tersebut.
Contohnya, pada 23 Ogos 2021, Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Syed Saddiq mendakwa bahawa dia mempunyai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama selain percaya Mahkamah Tinggi lebih sesuai untuk menangani kesnya yang kompleks serta rumit.
Pada 24 Mac 2022, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik ARMADA.Dia mendakwa tidak bersubahat dengan mana-mana pihak untuk melakukan pecah amanah atau salah guna harta tersebut dan hanya menjalankan tugasnya sebagai Ketua ARMADA pada masa itu.
Syed Saddiq juga mendakwa tidak mengetahui atau terlibat dalam pengubahan wang haram tersebut dan hanya menggunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan yang sah dan bermoral.
Pada 21 Jun 2022, Syed Saddiq membela diri di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.
Dia mendakwa dia adalah mangsa fitnah dan persekongkolan politik serta dan tidak melakukan apa-apa kesalahan yang dituduhkan ke atas dirinya.
Namun, semua dakwaan itu sehingga kini belum dapat dibuktikan secara sahih.
Malahan, taktik pasukan pembelaan menggunakan ibu bapa Syed Saddiq sebagai saksi pembelaan turut menjadi persoalan.
Adakah ini satu usaha pasukan pembelaan untuk mempengaruhi emosi juri dan hakim terhadap Syed Saddiq?
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-bapa-syed-saddiq-dakwa-anaknya-ditekan-sokong-muhyiddin-367459
https://harakahdaily.net/index.php/2022/03/24/syed-saddiq-berdepan-dua-pertuduhan-pindaan/
Pada 19 Januari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menasihati Syed Saddiq agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kes berkenaan.
Hakim memberikan nasihat itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu mahkamah, Syed Saddiq sebelum ini ada membuat hantaran di Facebook mengenai perjalanan kesnya di media sosial, seolah-olah ia adalah pembelaan awal dalam kes sedang dihadapi beliau.Teguran itu perlu dilakukan oleh pihak mahkamah kerana Syed Saddiq cuba menggunakan media sosialnya sebagai taktik untuk mempengaruhi pendapat orang ramai dan cuba menyembunyikan kebenaran.
Malah, tindakan terburu-buru Syed Saddiq mengeluarkan hantaran sedemikian di media sosialnya menunjukkan bahawa dia seolah-olah resah dengan perjalanan perbicaraan kes tersebut.
Mengapa perlu resah sekiranya yakin tidak bersalah? Hanya orang yang bersalah sahaja akan merasa resah atau bimbang.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/913230/bukan-larang-cuma-nasihat-orang-lebih-matang-kepada-syed-saddiq
Mahkamah perlu membuat keputusan yang cepat berhubung kes Syed Saddiq.
Kelambatan keputusan kes bukan sahaja mencerminkan keseluruhan sistem kehakiman semata-mata tetapi juga mempengaruhi persepsi rakyat terhadap keadilan serta pemerintahan negara.
Kes Syed Saddiq adalah berprofil tinggi dan mahkamah perlu membuat keputusan dengan segera bagi menafikan sebarang cakap-cakap bahawa sistem kehakiman dibayangi oleh politik.
Bukti sudah dikemukakan tetapi sehingga kini tiada keputusan yang dibuat.
Ketika rakyat menunggu keputusan, banyak spekulasi dan persepsi negatif akan berlegar-legar dalam fikiran orang ramai.
Jangan biarkan wujud ruang untuk persepsi dan dakwaan tidak berasas orang ramai sehingga menjejaskan kestabilan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi pemerintahan negara.
Tuesday, September 5, 2023
Annuar Zaini Makan Gaji Buta
Ahli Dewan Negara Perak merangkap Penasihat Sultan Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berhentilah bermain politik.
Masih ramai rakyat Perak tidak menikmati kemudahan asas. Bayangkan untuk mendapatkan kemudahan Internet di Perak pun kena tunggu lawatan rasmi Perdana Menteri.
Bila Perdana Menteri suruh, barulah terhegeh-hegeh mahu buat kerja.
Sepatutnya Mohd Annuar duduk berbincang di meja bulat bersama-sama Exco Perak untuk mengenalpasti permasalahan rakyat Perak.
Bentangkan kepada Istana Perak untuk diambil tindakan segera. Tak perlu tunggu wakil Kerajaan Pusat turun padang.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kampung-orang-asli-tonggang-bakal-dapat-starlink-pm-anwar-434379
Sebagai individu yang paling hampir dengan Sultan Perak, sepatutnya Mohd Annuar mengambil inisiatif untuk menasihati atau memberi idea kepada Sultan Perak agar menggesa kerajaan negeri Perak untuk menangani isu terbabit dengan kadar segera.
Sebaliknya, Mohd Annuar lebih berminat untuk campur tangan dalam urusan politik kerajaan Perak.
Sehinggakan Mohd Annuar sanggup mengatakan fitnah kepada ahli politik yang tidak disukainya semata-mata mahu membentuk kerajaan acuannya sendiri di Perak.
Apa sahaja kerajaan yang dibentuk di Perak, semuanya ada campur tangan Mohd Annuar.
Sebab itu, Perak sering kali berdepan dengan krisis politik. Semuanya berpunca daripada campur tangan Mohd Annuar.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1030104/annuar-zaini-minta-maaf-kepada-setiausaha-bersatu-perak
Mohd Annuar juga menggunakan pengaruh media untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan tentang bermacam-macam isu.
Masakan tidak, anaknya sendiri adalah penulis bagi sebuah portal terkenal di negara ini.
Dia akan menggunakan nama anaknya sebagai medium untuk melontarkan pandangannya dalam portal berkenaan.
Salah satu isu adalah Mohd Annuar mendesak YDPA untuk mempercepatkan pelantikan Perdana Menteri baharu pada 2021.
Siapakah Mohd Annuar untuk mendesak YDPA? Apakah tugas dia sebenarnya? Adakah dia merupakan penasihat YDPA?
Sewajarnya Mohd Annuar tidak boleh mencampuri apa jua urusan berkaitan pelantikan atau pemecatan Perdana Menteri.
Mungkin disebabkan dia adalah penasihat Sultan Perak, maka dia merasakan berhak untuk campur tangan atau melontarkan komen yang sebenarnya tidak perlu untuk dibangkitkan oleh dirinya.
Mohd Annuar sepatutnya fokus dalam menguruskan tanggungjawabnya di Perak sebagai Ahli Dewan Negara dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Sumber: https://www.thevibes.com/articles/news/36370/king-has-less-than-48-hours-to-remove-pm
Soal pertikaian tentang isu tanah rizab Melayu di Perak juga gagal diselesaikan oleh Mohd Annuar.
Sebanyak 3,412 hektar tanah rizab Melayu direkodkan bukan milik Melayu seperti dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2019 Siri 2 Negeri Perak.
Laporan itu turut mendedahkan sebanyak 3,417 hektar tanah rizab Melayu adalah milik perseorangan Cina.
Sebagai Yang diPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd Annuar sepatutnya melindungi pemilikan tanah milik orang Melayu dan Islam di negeri itu.
Namun, Perak dikatakan gagal mematuhi Enakmen Rizab Melayu 142 dan membiarkan golongan bukan Melayu untuk memperoleh tanah rizab Melayu secara tidak sah.
Sumber: https://themerdekatimes.com/news/2023/01/3214-hektar-tanah-rizab-melayu-perak-dimiliki-bukan-melayu
Sebagai individu yang berpengaruh di Perak, sepatutnya Mohd Annuar lebih memikirkan soal kesejahteraan rakyat Perak berbanding sibuk mencampuri urusan politik negeri itu.
Mohd Annuar gagal melindungi hak orang Melayu di Perak walaupun itu adalah tugas hakikinya.
Dia lebih berminat menambah koleksi jawatannya dari masa ke semasa.
Tak guna pegang 10 atau 20 jawatan, kalau amanah itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
Tuesday, August 22, 2023
PAS Lupa Matlamat Sebenar
PAS sekali lagi cuba bermain dengan sentimen agama untuk menarik perhatian orang ramai.
Kali ini, PAS mahu menyerang rakyat Johor pula. Tak pelik apabila PAS tiba-tiba menyerang rakyat Johor kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bakal berlangsung tidak lama lagi.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rakyat Johor kurang kesedaran politik Islam menyebabkan parti itu gagal menawan hati rakyat Johor.
Mengapa mahu membangkitkan isu kurangnya kesedaran politik Islam?
Penting ke perkara itu untuk diamati oleh orang ramai dalam memilih atau menyokong sesebuah parti politik khususnya rakyat di Johor?
Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/pas-hadi-awang/
Abdul Hadi mengatakan Johor merupakan negeri terawal penubuhan parti itu.
Dia kena sedar pandangan orang ramai terhadap sesebuah parti sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Pada awal penubuhan PAS, parti itu bermatlamat memperjuang nilai Islam dan menyubur perpaduan dalam kalangan rakyat.
Namun, matlamat itu kini tidak selari dengan perjuangan PAS sekarang.
PAS lebih gemar bermain isu perkauman dan agama semata-mata mahu menjatuhkan lawan politiknya.
Rakyat tidak mahu parti sebegitu, sebaliknya rakyat memilih parti politik yang menjamin kesejahteraan kehidupan mereka khususnya dalam era penuh mencabar ini.
Sumber: https://www.getaran.my/artikel/politik/31300/pas-mainkan-retorik-agama-kaum-demi-kuasa-cakap-tak-serupa-bikin
PAS atau Abdul Hadi sudah boleh berhenti menggunakan Islam sebagai senjata politik mereka.
Tak perlu menilai keperibadian dan akhlak rakyat sekiranya memilih untuk tidak menyokong PAS.
Rakyat bebas memilih sesiapa yang mereka suka dan tidak semestinya menyokong parti lain, iman dalam diri komuniti Islam di negara ini berkurangan.
Jangan terlalu tamakkan kuasa, sehingga membuat tuduhan tak berasas kepada orang lain terutamanya kepada orang ramai.
Politik hanya politik, jangan gunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan menyemai hasutan dalam diri rakyat.
Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/11/pas-sudah-boleh-berhenti-main-sentimen-hukum/
Daripada sibuk berbicara soal rakyat negeri lain, tiada salah PAS memberi fokus kepada rakyat di negeri yang diperintah oleh mereka.
Lupakah tentang isu air di Kelantan yang masih belum selesai sejak berdekad lamanya?
Ada rakyat Kelantan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial dengan isu air di negeri itu yang tidak selesai.
Keperluan asas rakyat adalah satu perkara penting perlu dititikberatkan oleh seseorang pemerintah.
Kalau menjaga keperluan asas rakyat pun gagal, tak usah sibuk tentang hal rakyat di negeri lain.
Cukup-cukuplah PAS, jangan terlalu galak menggunakan retorik agama sebagai bahan politik.
Islam tidak mengajar umatnya untuk saling menghasut atau memburukkan orang lain.
PAS perlu berbalik kepada matlamat asalnya iaitu mengamalkan politik sihat.
Parti itu wajar menyedari bahawa rakyat menolak PAS kerana telah lari daripada matlamat asal.
PAS juga perlu tahu, bukannya PAS satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di negara ini.
Tuesday, July 4, 2023
'Beruntung' Menjadi Anak-Anak Mahathir
Dinasti anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad bukan asing di negara ini, malahan dipenuhi dengan pelbagai kontroversi.
Kekayaan setiap anak-anak Mahathir kerap kali dibicarakan dan dipertikai.
Mahathir acap kali menafikan apa jua bentuk serangan berhubung sumber kekayaan anak-anaknya.
Walhal, ramai sedia maklum sumber kekayaan anak-anak Mahathir merupakan hasil amalan nepotisme yang diamalkan oleh Mahathir ketika mentadbir negara selama lebih dua dekad.
Rakyat tidak perlu melihat terlalu jauh untuk mengesahkan kekayaan anak-anak Mahathir.
Marina pula pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Majlis Aids Malaysia dan menjadi ahli lembaga pertubuhan bukan kerajaan, Sister In Islam.
Marina turut memegang jawatan tertinggi dalam Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Malaysian Philharmonic Orchestra.
Bukan itu sahaja, Marina juga menjadi pemegang amanah Maybank Foundation, sebuah platform utama untuk menjalankan tanggungjawab korporat dalam Maybank Group.
Portfolio Marina bukan calang-calang ya. Selain memegang pelbagai jawatan, dia juga memiliki syarikat-syarikat di bawahnya seperti Boost Juice Sdn Bhd dan Wild Horizon Sdn Bhd.
Hanya selepas empat hari Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua pada 2018, Opcom Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan penjualan kabel gentian optik serta produk berkaitan kabel di Malaysia, telah dianugerahkan kontrak sebanyak RM11.16 juta oleh Telekom Malaysia.
Mokhzani merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Opcom Holdings Berhad pada masa itu manakala abangnya, Mukhriz adalah pemegang saham terbesar sehinggalah dia menyerahkan sahamnya kepada isterinya sebelum menceburi politik.
Saham Opcom naik 18.5 sen atau 41.11% menjadi 63.5 sen dalam tempoh sehari ketika itu.
Situasi tersebut dilihat sangat aneh memandangkan kerajaan Mahathir baru sahaja meluluskan Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/436827
Mirzan yang dikatakan memiliki aset bernilai RM17 bilion pernah terpalit kontroversi apabila Mahathir pernah 'bail out' Konsortium Perkapalan milik Mirzan pada 1990-an menerusi Petronas bernilai AS$220 juta (RM972.7 juta).
Mirzan juga dikatakan menerima pemilikan saham bernilai RM108.5 juta daripada Diperdana Corp yang merupakan milik adik kepada kroni rapat Mahathir iaitu Danny Tan.
Selain itu, Mirzan juga merupakan pemegang saham serta pengarah syarikat M Ocean Capital Sdn Bhd (MOCSB).
Dia juga pernah menjadi pengerusi dan pengarah bukan eksekutif AHB Holdings Berhad sebelum menjual semua sahamnya dalam syarikat berkenaan pada 2013.
Mirzan juga terpalit dengan isu bahawa dia mempunyai pegangan saham syarikat pegangan Petron Malaysia di Filipina, San Miguel Corporation.
Mirzan merupakan ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina dan dipilih sebagai pengarah syarikat berkenaan pada 2010 serta memegang 1,000 ekuiti.
Sumber: https://www.wsj.com/articles/SB893957144672200500?fbclid=IwAR2JevyAnX4NAECC13BA02c4eQ-UGaqBHrwsNlwi9TVZIkSGvmrh7TqJk2Q
Taikun-taikun perniagaan besar di negara ini memerlukan tempoh masa sehingga dua hingga tiga generasi untuk memperoleh kekayaan.
Namun, Mahathir hanya memerlukan tempoh masa satu atau dua dekad sahaja untuk memastikan anak-anaknya kaya-raya.
Bayangkan berapa banyak kontrak atau projek yang diberikan oleh Mahathir kepada setiap anak-anaknya?
Anak-anak Mahathir tidak perlu bersusah payah untuk turun naik pejabat kerajaan semata-mata untuk mendapatkan tender kerajaan.
Betapa 'beruntungnya' memiliki seorang 'daddy kasi' seperti Mahathir. Mahathir akan terus menafikan, tapi ramai tahu dari mana sumber kekayaan anak-anaknya.
Tuesday, May 30, 2023
Annuar Zaini Sombong, Tidak Kisah Hal Rakyat Perak
Selain isu tanah rizab Melayu, Perak dilanda pelbagai isu berbangkit berkenaan krisis alam sekitar.
Baru-baru ini, seorang Exco Perak mengesahkan kegiatan penebangan hutan dan pengorekan pasir di negeri itu antara aktiviti dikenal pasti menyumbang kepada gangguan ekosistem sungai-sungai.
Situasi itu memberi kesan besar kepada sumber pendapatan nelayan darat.
Perak bukankah ada seorang individu berpengaruh merangkap Penasihat Sultan Perak iaitu Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Bukankah dia suka campur tangan dalam segala hal ehwal kerajaan negeri dan nasional?
Mengapa isu yang membabitkan kepentingan rakyat, dia hanya berdiam diri? Sebelum ini, wujud pertikaian tentang isu tanah rizab Melayu di Perak yang dimiliki oleh golongan bukan Melayu.
Sebanyak 3,412 hektar tanah rizab Melayu direkodkan bukan milik Melayu seperti dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2019 Siri 2 Negeri Perak.
Laporan itu turut mendedahkan sebanyak 3,417 hektar tanah rizab Melayu adalah milik perseorangan Cina.
Seorang netizen mempersoalkan kegagalan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyekat penjualan atau pelupusan tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu.
Perak dikatakan gagal mematuhi Enakmen Rizab Melayu 142 dan membiarkan golongan bukan Melayu untuk memperoleh tanah rizab Melayu secara 'tidak sah'.
Mohd Annuar tidak meminta atau menasihati pihak Istana Perak untuk mendesak agar perkara itu diselesaikan secepat mungkin.
Sumber: https://themerdekatimes.com/news/2023/01/3214-hektar-tanah-rizab-melayu-perak-dimiliki-bukan-melayu
Walhal Mohd Annuar begitu istimewa di Istana Perak, cuma tiada siapa tahu mengapa sebegitu penting keberadaannya di Perak.
Ke mana-mana sahaja dia akan mengiringi Sultan Perak dalam apa jua majlis.
Beliau juga dikatakan banyak membuat keputusan berhubung senario politik di Perak.
Sungguh banyak kuasa dan kebebasan yang diberikan oleh Perak kepada Annuar Zaini.
Anehnya, Annuar bukanlah siapa-siapa dan tidak mempunyai latar belakang keturunan diraja.
Namun beliau mendapat sepenuh kepercayaan daripada Istana Perak. Banyak tanda tanya yang tidak terjawab berhubung manusia bernama Annuar Zaini.
Sumber: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/02/05/adun-pangkor-mb-perak-baru
Pengaruhnya yang luas di Perak membuatkan ramai memanggilnya sebagai panggil dia 'raja tanpa pangkat' atau raja tanpa tengkolok'.
Contoh percaturannya ialah jatuhnya kerajaan negeri Perak yang dipimpin oleh Datuk Nizar Jamaluddin sehingga mencetuskan krisis politik pada 2009.
Dialah dalang yang menyusun boneka-boneka untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak pada masa itu.
Bahkan teks khutbah di negeri Perak juga di bawah bidang kuasa beliau selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Perak.
Percaturan kotor Mohd Annuar hanya menjejaskan institusi diraja di negara kita, ditambah statusnya sebagai Penasihat Sultan Perak.
Tuntasnya, Mohd Annuar hanya sibuk campur tangan dalam urusan yang beri manfaat pada dirinya sahaja.
Tak usahlah rakyat Perak mengharapkan apa-apa daripada Mohd Annuar.
Dia hanyalah individu yang bila-bila masa sahaja boleh 'meratah' hasil rakyat secara senyap-senyap.
Jawatan-jawatan yang diberikan kepadanya perlu ditarik balik.
Selagi diberikan kuasa dan jawatan, Mohd Annuar kekal menjadi 'raja singa' yang merosakkan Perak.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Mahathir Licik Alih Kontroversi Dirinya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mengumumkan siasatan pengisytiharan harta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr...

-
Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda sekian lama didakwa mempunyai kaitan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibbuu pada ...
-
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kecenderungan sebag...
-
Peguam dan aktivis sosial, Latheefa Koya baru-baru ini menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes dua ind...