Sunday, December 17, 2023

Sultan Johor Membangun Negeri, Mengispirasi Rakyat


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menunjukkan kepimpinan dan sumbangan yang signifikan, sekali gus memberikan impak besar kepada Bangsa Johor serta negeri berkenaan.

Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berwibawa dan berdedikasi. Komitmen dan usaha Sultan Ibrahim berjaya membangunkan dan memakmurkan Johor.

Selain itu, Baginda turut berjaya memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim bukan sahaja memerintah tetapi juga memberi bakti kepada Bangsa Johor, menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Melalui kepimpinan Sultan Ibrahim memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, Johor dijadikan contoh kemajuan di negara ini.

Salah satu pencapaian terbesar Sultan Ibrahim dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini adalah Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17.

Pelantikan Sultan Ibrahim merupakan penghormatan yang tinggi dan menandakan peranan penting Baginda dalam kepimpinan negara.

Sultan Ibrahim bakal memulakan tugasnya sebagai YDPA pada 31 Januari 2024, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 30 Januari tahun yang sama.

Meskipun belum memulakan tugas secara rasmi, Baginda telah melakukan banyak usaha dan pertemuan bersama menteri-menteri kerajaan serta Jawatankuasa Majlis Rasmi Kerajaan.

Sultan Ibrahim turut bertitah tidak akan berlembut kepada sebarang pihak yang cuba melakukan 'onar' kepada rakyat dan negara sepanjang Baginda menjadi YDPA.

Pelantikan Baginda sebagai YDPA menggembirakan dan memberi keterujaan kepada rakyat negara ini yang sedia maklum dengan kepimpinan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim merupakan pemerintah yang sangat mementingkan kebajikan rakyat.

Baginda sering menekankan kepentingan dalam membantu kehidupan orang ramai agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Baginda adalah individu pertama yang akan turun padang serta menghulurkan bantuan kepada Bangsa Johor sekiranya ditimpa bencana atau musibah.

Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara ini, Sultan Ibrahim memberikan sumbangan 300,000 pelitup muka dan bekalan perubatan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi meringankan beban Bangsa Johor ketika saat-saat sukar tersebut.

Baginda turut memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan keperluan hospital di Johor dalam menangani pandemik Covid-19.

Bukan itu sahaja, Sultan Ibrahim turut bermurah hati memberi sumbangan kepada mangsa banjir, mangsa ribut serta mangsa kebakaran di Johor.

Malah, Sultan Ibrahim pernah mengurniakan lebih bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk membantu Bangsa Johor yang kurang berkemampuan.

Sayangnya Baginda kepada Bangsa Johor juga terlihat apabila kerap kali pasukan perubatan peribadi Sultan Ibrahim memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa-mangsa kemalangan.

Sultan Ibrahim pernah bertitah kepada pasukan perubatannya untuk sentiasa menolong rakyat yang berada dalam kecemasan.

Sultan Ibrahim sangat mementingkan perpaduan antara kaum dan menghormati sentimen keagamaan di Johor.

Baginda acapkali memberi penekanan kepada semua Bangsa Johor agar tidak menyebarkan virus perpecahan yang menggangu kestabilan negeri berkenaan.

Sultan Ibrahim menitahkan agar mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor perlulah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi mengelakkan sebarang penyebaran ilmu Islam yang songsang.

Baginda juga pernah menolak penubuhan cawangan Muhammadiyah bagi mengelak kekeliruan, perbalahan dan perpecahan umat Islam di Johor.

Selain itu, Sultan Ibrahim berkenan menjadi pendamai dalam mencari penyelesaian terhadap isu perobohan sebuah kuil Hindu di Seri Alam, Johor pada 2018.

Baginda bertitah satu lokasi baharu disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk membina semula kuil berkenaan dan turut memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada jawatankuasa kuil tersebut.

Sultan Ibrahim pada setiap tahun turut memberi amaran kepada ahli-ahli politik Johor untuk tidak saling berbalah atau Baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baginda kerap memberi pesanan dan nasihat kepada ahli-ahli politik serta penjawat awam di Johor agar memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat.

Sultan Ibrahim tidak pernah sesekali berkompromi sekiranya ada ahli politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan di Johor.

Ketegasan Baginda menjadi bukti apabila Kerajaan Negeri Johor tidak pernah mengalami pergolakan sesama Exco negeri atau perbalahan dalam sidang DUN.

Walaupun berbeza pendapat atau pandangan politik, Kerajaan Negeri Johor sangat efisien dalam menjalankan tugas masing-masing.

Kepimpinan Sultan Ibrahim amat diperlukan dalam situasi kurang stabil negara ketika ini.

Jadikan Johor sebagai contoh terbaik. Sangat jarang mendengar Johor bergolak di bawah pimpinan Sultan Ibrahim.

Kepimpinan Sultan Johor yang berdedikasi dan tegas demi kesejahteraan Bangsa Johor telah menyumbang kepada situasi aman di negeri tersebut.

Apabila Sultan Ibrahim ditabal secara rasmi sebagai YDPA pada tahun depan, ketegasan Baginda paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.

Di bawah kepimpinan Sultan Ibrahim, negara akan memasuki era baharu yang lebih stabil dan maju.

Mahathir Perlu Terima Hukuman Hilang Pulau Batu Puteh

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan berdepan siasatan berhubung isu kehilangan Pulau Batu Puteh pada 2018. Isu ini...