Baru-baru ini, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq menuntut kerajaan agar mempertingkatkan lagi pendidikan seks di sekolah.
Ujar Syed Saddiq, pendidikan seks sepatutnya diberikan perhatian terutamanya kepada generasi muda supaya mereka lebih tahu, peka dan cakna tentang isu seks bebas.
Katanya lagi, pendidikan seks adalah ilmu, bukannya bahan berbentuk lucah.
Kenyataan Syed Saddiq itu benar namun perlu diteliti daripada pelbagai aspek berhubung pelaksanaan pendidikan seks di sekolah.
Masyarakat Malaysia masih berpegang kepada budaya ketimuran dan amat sensitif dengan isu berkaitan seks ini.
Jika tersilap langkah mengenai pelaksanaannya, impak negatif akan berlaku.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2023/01/26/pertingkat-pendidikan-seks-di-sekolah-syed-saddiq/
Sebenarnya, isu berkaitan pendidikan seks di sekolah ini bukan suatu perkara baharu.
Isu ini telah didebatkan sejak awal tahun 1980an lagi namun tiada satu pelaksanaan yang dibuat berhubung pendidikan seks di sekolah.
Sebagai rakyat biasa, pelbagai persoalan pastinya tercetus berhubung cadangan Syed Saddiq.
Persoalan seperti silibus, aspek yang perlu diberi penekanan, cara yang ingin disampaikan serta tenaga pengajar selain nilai yang terkandung dalam silibus pendidikan seks amat dibimbangi oleh rakyat.
Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum pendidikan seks itu boleh dipertingkatkan di peringkat sekolah.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pendidikan-seks-silibus-ada-tetapi-tidak-capai-matlamat-pakar-196557
Agama Islam sendiri melihat golongan yang wajar memberikan pendidikan seks adalah ibu bapa.
Sebelum ini, pengkaji Islam turut menyebut bahawa pendidikan anak-anak dalam Islam merangkumi tujuh komponen penting dan salah satunya adalah pendidikan seks.
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan seks kepada anak-anak mereka.
Berdasarkan saranan kajian yang dilakukan, pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak.
Pada usia 7-10 tahun, anak-anak perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab-adab penglihatan serta seterusnya.
Apabila anak-anak mencapai usia baligh atau dewasa, mereka perlu diajar untuk memelihara diri, khususnya buat anak-anak yang belum mampu berkahwin.
Sumber: https://www.researchgate.net/publication/341252351_Pendidikan_Anak-Anak_Menurut_Abdullah_Nasih_Ulwan
Istilah pendidikan seks itu sering memberi tanggapan berbeza kepada segelintir rakyat.
Ada rakyat yang menyifatkan pendidikan seks itu sebagai tidak wajar dan ada yang menerimanya secara terbuka.
Situasi ini berlaku kerana topik pendidikan seks menjadi tabu dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Rakyat menganggap pendidikan berkaitan seks tidak patut dibincangkan secara terbuka.
Justeru, sukar untuk mengubah minda atau 'mindset' rakyat Malaysia yang masih terikat dengan budaya serta adat ketimuran.
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/01/523906/terapkan-pendidikan-seks-ikut-kerangka-islam
Tuntasnya, kewajaran pendidikan seks perlu diperhalusi secara holistik serta mempunya matlamat dan tujuan yang jelas.
Sebarang kesilapan dalam pembuatan dasar akan mengganggu usaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Secara zahirnya, pendidikan seks perlu diajar dari rumah dan bukannya tanggungjawab pihak sekolah semata-mata.
Ibu bapa yang perlu mencorakkan pemikiran anak-anak mereka sejak dari kecil lagi.
Tanggungjawab ibu bapa sebagai pendidik peringkat primer amat penting bagi memastikan anak-anak mereka faham tentang bahaya seks dan sebagainya.
Pendidikan seks di sekolah tidak beri jaminan masalah gejala sosial akan berkurangan.
No comments:
Post a Comment