Tuesday, March 29, 2022

Amira Aisya Tidak Layak Jadi Adun

Kesiannya mangsa kebakaran di Felda Ulu Tebrau yang membabitkan lima premis perniagaan. Mereka bukan sahaja hilang harta benda dan sumber pendapatan mereka, malah wakil rakyat mereka gagal menghulurkan sebarang pertolongan.

Di sebaliknya, wakil ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz dengan sikap lepas tangan telah memberitahu mangsa kebakaran bahawa pejabat ADUN Puteri Wangsa tidak dapat membantu kerana “YB belum mengangkat sumpah”. Hebatnya!

Sejak bila wakil rakyat perlu menunggu upacara majlis angkat sumpah baru nak membantu rakyat? Apakah ini sikap malas dan angkuh yang menunjukkan diri yang sebenar Amira Aisya dan parti MUDA? KDYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor telah berkenan mencemar duli ke kawasan kebakaran dan turut menitahkan bahawa baginda berkenan membiayai kos pembaikan untuk kesemua premis yang terbabit.

Amira Aisya hanya turun ke kawasan selepas kunjungan KDYMM Sultan Johor! Adakah ini sikap wakil rakyat parti MUDA? Kalau nak terus begitu baik tak payah jadi calon pada PRU nanti! Mengapakah perlu menunggu angkat sumpah dan kunjungan dari KDYMM Sultan Johor baru nak bertungkus lumus bergerak ke kawasan kebakaran? Ini boleh dikatakan biadap!

Apa-apa pun, sememangnya peranan seorang ADUN adalah untuk bertindak pantas mencari penyelesaian atau bantuan untuk rakyat yang meminta tolong. Bukan untuk mengambil alih tugasan pihak bomba mahupun polis, tetapi supaya dilihat sebagai prihatin rakyat dengan terus ke kawasan kejadian untuk memastikan keadaan terkawal dan membantu dalam koordinasi usaha menghulurkan bantuan. Amira Aisya dan parti MUDA? Masih beria-ria di Kuala Lumpur agaknya..

Perlu ditanya soalan ini – Adakah parti MUDA dan Amira Aisya betul-betul sedia menggalas tugasan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat? Nampaknya dalam episod kejadian kebakaran ini, mereka langsung tidak bersedia mahupun berhati perut untuk membantu rakyat.

Macam mana pun nak keluarkan penafian bahawa wujudnya kenyataan wakil pejabat yang menyatakan Amira Aisya tidak dapat membantu, perlu kita fokus pada reaksinya dalam waktu sejurus selepas kebakaran berlaku. Tiada apa pun kenyataan dari Amira Aisya mengenai pelan tindakan yang akan atau telah diambilnya untuk menangani isu ini.
Memandangkan ini merupakan isu hangat, kenapakah respons Amira Aisya begitu lambat sehingga tertimbul soalan-soalan mengenai kecekapannya? Ini bukan soal tiada pengalaman. Amira Aisya merupakan Setiausaha Agung MUDA sejak penubuhan parti, dia kononnya juga banyak pengalaman membantu Syed Saddiq di Muar. Tapi adakah pengalaman itu sekadar menjalankan ops gambar supaya persepsi awam terhadap MUDA kekal positif? Pokoknya, Johor dan negara kita memerlukan wakil rakyat yang benar-benar mahu membantu dan membela nasib rakyat marhaen.

Kita tidak mahu wakil rakyat yang hanya reti memberi alasan. Lagi-lagi alasan itu suatu yang tidak munasabah. Takkan Amira Aisya ini juga seorang kaki kencing seperti Syed Saddiq? Namun, tidak hairanlah kalau benar. Belum sebulan sudah keluar perangai buruk tidak mahu tolong rakyat. Bayangkan ada 4-5 tahun lagi warga Puteri Wangsa kena hadapi. Rugi gila.

Jika Amira Aisya tidak ingin menolong warga Puteri Wangsa, baik dia undur diri dan memberi ruang kepada mereka yang ada hati dan azam baik untuk menyandang jawatan wakil rakyat. Cukup-cukuplah dengan perangai buruk dan keikhlasan palsu. Rakyat tidak perlu lagi menderita dengan pimpinan yang gagal oleh parti MUDA.

Tuesday, March 15, 2022

Onn Hafiz Pilihan Terbaik Untuk Masa Depan Johor Yang Cerah

 

Susulan kemenangan besar untuk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor beberapa hari yang lepas, khabar angin kini kencang dengan berita hangat bahawa akan adanya Menteri Besar Johor yang baru. Khabar angin ini disahkan apabila Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memohon agar orang muda diberi laluan untuk memimpin Kerajaan Negeri Johor.

Kempen Barisan Nasional yang menekankan kestabilan masa depan memerlukan pemimpin yang dinamik dan lebih memahami cabaran hidup rakyat yang kini sering berubah.

Antara nama-nama yang di senarai pendek adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, cicit kepada pengasas UMNO dan Menteri Besar Johor yang ke-7, Dato’ Onn Jaafar. Jika dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.

Onn Hafiz yang kini berumur 44 tahun merupakan calon paling sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar kerana beliau sudah cukup berpengalaman menjaga kepentingan rakyat walaupun masih muda lagi.

Onn Hafiz juga merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, anak kepada Perdana Menteri Ke-3, Tun Hussein Onn. Tidak boleh dinafikan bahawa Onn Hafiz berasal dari keluarga yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan kini beliau mengikuti dalam jejak moyangnya untuk meneruskan legasi keluarga beliau, dan akan menjadi Menteri Besar Johor yang ke-5 dalam keluarga yang tersohor itu, selepas Dato’ Jaafar Muhammad, Dato’ Abdullah Jaafar, Dato’ Mustapha Jaafar, dan Dato’ Onn Jaafar.

Beliau telah bertanding buat kali pertamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 dengan memenangi kerusi DUN Layang-Layang. Setelah Barisan Nasional kembali memegang tampuk kuasa pada awal tahun 2020, beliau di lantik sebagai ahli EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Hasni Mohammad. 

Dalam jawatan ini Onn Hafiz telah menunjukkan kaliber beliau sebagai pemimpin muda dan dinamik dengan memberi tumpuan kepada advokasi orang muda, termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan, Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Beliau juga menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak Istana Johor, suatu perkara yang amat penting untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran Johor. Ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai kepercayaan dari rakyat dan pihak istana.

Jika Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar, maka beliau boleh menyandang jawatan itu untuk jangka masa yang lebih panjang bagi memastikan kestabilan politik di negeri Johor. Ini akan membawa manfaat yang besar dalam membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan asing ke Johor. Pelantikan beliau juga berpotensi menarik para belia untuk mengambil peranan yang lebih besar dalam politik Johor dan negara, memandangkan terdapat lebih kurang 750,000 orang belia di Johor dan angka ini kian meningkat setiap tahun.

Pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor bukan sahaja menjadi tali perhubungan dengan sejarah Johor, malah menjadi penentu hala tuju masa depan Johor untuk membangun secara makmur dan berwawasan. Sememangnya masa depan Johor cerah di bawah pimpinan Barisan Nasional dan pemimpinnya yang mengetengahkan rakyat secara keseluruhan, tidak kira kaum, agama, mahupun umur.